Friday, November 21, 2008

Lirik Mata Anda,,

Assalamualaikum & Hi!

Apa khabar semua? Saya nak sambung mengenai mata tetapi kali ini mengenai cara lirikan mata dalam komunikasi sesama kita.

Selalunya kalau kita berjalan2 atau bersiar2 atau tak kiralah apa pun yang kita lakukan samada kita berada di keraian dan sebagainya, kita akan berjumpa dengan pelbagai perkara. Mungkin kita terpandang orang tu pakai baju cantik atau baju tak kena stail, atau mekap terlebih atau apa sahaja yang membuatkan anda terpaksa melihat dengan cara bukan melihat, tapi sekadar melirik mata. Atau senang cakap, menjeling gitu. Adakah kita terfikir lirikan mata kita mampu mengundang ketidaksenangan orang lain terhadap kita, kerana pandangan itu tidak bersifat jujur tetapi penuh dengan pelbagai rasa. Ada rasa pelik, ada rasa jelik, dan ada rasa simpati. Namun apa pun jua rasa yang terbit, ketahuilah ianya sesuatu yang tidak menyenangkan.

Saya pernah mengalami peristiwa yang membuatkan saya nak segera beredar dari tempat saya berada. Ianya kerana dari melalui lirikan mata sahaja. Bukan disebabkan penampilan saya tetapi mengenai anak saya. Mungkin majoriti mengetahui bahawa saya mempunyai dua orang anak. Abang dan adik (she's a girl!) Anak kedua saya sedang dalam proses terapi berjalan dan insyaAllah dengan berkat doa anda semua, makin cepatlah dia untuk berjalan.

Jadi, sebelum ini saya amat terkesan dengan pandangan mata masyarakat kita yang seperti takut untuk bertanya atau datang kepada kita dan memeluk anak yang masih kurang upaya. Saya berfikir, sedangkan anak saya ini normal dari akal fikiran, rupa paras dan pergerakan lain kecuali tidak mampu lagi untuk berjalan, itupun sudah dapat lirikan mata yang kurang menyenangkan, apatah lagi kalau melihat anak-anak yang tidak dapat bergerak langsung. Ingin sekali saya kongsi dengan anak semua bagaimana bertuahnya saya dan suami punya anak seperti Nur Imtinan Aishah sedikit masa lagi, insyaAllah.

Apa yang saya tekankan di sini dan saya suka belajar dari perkara ini adalah, lirikan mata yang disusuli dengan diam tanpa senyum, dan hanya duduk jauh2 seolah-olah hanya mampu berfikir 'eh. kenapa tidak berjalan lagi?' atau seolah tidak pernah tahu bahawa ciptaan Allah ini pelbagai.

Sekiranya kita pernah membuat lirikan mata yang menjengkelkan, adalah lebih baik dari tidak memandang langsung atau terus sahaja melihat dengan niat untuk berkongsi. Lirikan mata yang seolah-olah tersilap bila memandang, adalah sesuatu yang amat menghiriskan hati.

Situasi juga berlaku apabila lirikan mata yang memandang orang lain berpakaian kononnya tidak bertepatan gaya. Bukan setakat mata yang melirik, ditambah pula dengan cebikan bibir, alamak, tidak anggun begitu ya.

Bagaimana untuk anggun apabila berhadapan dengan orang? Ya, selain tips2 yang kita kongsi sebelum ini mengenai salam, senyum, kuku dan lain2, kita juga harus memberikan komunikasi baik melalui mata. Di kalangan kita, pandanglah wajah di depan kita, tetapi bukannya merenung tajam seperti hendak menelan, namun pandangan yang meraikan mereka yang bercakap dengan kita.

Ada anda pernah berbual dengan orang yang matanya asyik meliar ke sana ke sini? Apa yang anda rasa? Tidak selesa bukan? Dan rasa seperti kita tidak diperlukan. Jadi JANGAN lah melakukan lirikan seperti itu kepada orang lain.

Pandanglah dengan pandangan yang sempurna, ikhlas, jujur, penuh kasih sayang dan anda sendiri akan mengetahui hati anda ketika itu, kerana dari pandangan mata akan terus ke hati, tetapi sebenarnya pandangan mata itu juga terbit dari pandangan hati.

Doktor Sham, iaitu pakar terapi Adik pernah melihat dua orang wanita yang melihat tetapi seperti tidak melihat, sepasang suami isteri berbangsa cina membawa anak yang handicapped dengan kereta bayi. Sambil melihat dengan lirikan yang tidak habis itu, ditambah dengan gelak-gelak kecil, pantas beliau pergi ke arah wanita2 itu dan berkata :
" Is there something funny about the child? Do you think that his parents want their kids to be like that? Shame on you!"

Saya menangis mendengarnya apabila masih ada yang mampu untuk menegur orang-orang sedemikian yang memikirkan mereka itu sudah sempurna apabila boleh berjalan dan melihat dan lain2 lagi yang mereka ada.

Antara hikmah mempunyai Adik adalah mengajar saya dan suami lebih mensyukuri hidup dan menjaga lirikan mata. Kini saya mampu untuk memandang mereka yang kurang dari yang lebih dengan pandangan yang sama taraf, tidak ada beza antara yang sempurna dan kurang sempurna. Semuanya sama di sisi Allah, kecuali orang-orang yang bertaqwa. Takutlah dengan pandangan Allah daripada pandangan manusia. Oleh kerana itu saya dan suami kini lebih yakin untuk bersama anak saya di khalayak kerana saya yakin bahawa ada hikmah di sebalik pemberian yang hebat ini.

Terima kasih kepada keluarga saya,keluarga mertua, Doktor Sham dan Auntie Karen ( Sham Physiotherapy Centre) sahabat2 baik saya, teman2 saya dan mereka yang sering memberikan pandangan kasih sayang kepada saya dan anak saya, kerana itulah sumber inspirasi saya untuk terus berusaha untuk melihat Adik mampu berjalan seperti orang lain. Kepada Zeffy dan As, akak masih ingat lagi waktu kita menangis bersama mengenangkan Adik. Terima kasih. Begitu juga dengan Kak Muhaiya yang berkongsi cerita mempunyai Hilman dan menangis serta menolong saya. Dan teman saya yang merokemenkan saya ke Dr Abraham, kerana dari situ saya mengenali Dr. Sham. Dan kepada anda semua yang mendoakan anak saya dan anak2 lain. Terima kasih semua.

Dan ketika kita berada di rumah orang lain, jagalah lirikan mata kita. Elakkan dari mata meliar melihat itu dan ini, segalanya diperhatikan. :). Memang tak anggun terutamanya rumah orang yang kita pergi itu bukan rumah adik beradik kita. Ingat ya!

Akhirnya, hayatilah lirik ini:
Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih

Hati kalau terlalu bersih
Pandangannya kan menembusi hijab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah

Tapi hati jika dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran


Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir panduan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia

*Hijaz- Pandangan mata

5 comments:

Anonymous said...

dearest kak muna..

hati terlalu tersentuh membaca post kak muna.. walaupun mata da terlalu mengantuk, dan da ready nak tido.. hati tetap bersemangat untuk memberi sedikit komen.. :) bole ya?

Alhamdulillah, kita adalah hamba hamba yang terpilih untuk mendapat anak yang kurang upaya.. atau orang lain lebih mereferkannya sebagai "cacat"..

Ternyata, kak muna lebih kuat untuk menghadapi dugaan sedemikian rupa, kalu tidak, masakan Allah menurunkan ujian (yang disertai dengan penuh rahmat) tersebut... Be strong kak. Dan Allah la tunjang kekuatan kita..

Maya selalu ingatkan diri; dari Allah kita dtg, kepada Allah kita kembali. Yang menghidup dan mematikan..

Ingin Maya kongsi, sewaktu kandungan kedua berusia 6 bulan, doktor sah kan anak Maya 'severe defect' - facial cleft, hydrocephalus (air dalam kepala), high risk of still born dan heart problem.. Dengan kuasanya Allah, dia lahir cukup sifat, after 38 weeks via C section. Walau hayatnya tidak panjang, tapi dia punya wajah yang cantik, tiada sumbing spt yang dikatakn doktor, dan mampu hidup selama 10 hari.. Baunya harum walau tak pernah mandi, ditempat kan di Neonatal ICU HUKM selama hayatnya, Maya cuma pernah dukung dia sekali. Saat malam pemergiannya, Maya nampak dia tengah baring di sisi walhal masa tu Maya kat umah dan dia masih di NICU...

Kuasanya Allah tiada tolok bandingannya.. Semoga dengan pemergian anakku Siti Hajar, Maya mampu membentuk diri Maya menjadi hamba Allah yang lebih baik, isteri yang solehah, ibu kepada my only daughter Siti Hawa yang mithali, anak yang solehah, rakan yang baik dan meninggal kan dunia ini dengan membawa segala kebaikan..

Again, be strong Kak Muna. We should be grateful, we are the chosen ones..

Love always,

Maya Puspa Rahman :)

Muna 'Izzah Fadzil said...

dearest Maya,
sedihya apa yang Maya tulis. lagi berat kan perasaan seorang ibu kehilangan seorang anak.
Ya, kdg2 mmg rasa down, tapi as maya said, bila kita fikir ALlah pilih kita, terus rasa semangat balik dan rasa sgt kasih sayang Allah tu melimpah ruah.

thanx maya for the sharing. i miss u too. thats why maya kuat smgt kan?

Unknown said...

Menitis air mata ini membaca hasil tinta kak Muna...Terharu dengan ketabahan dan pengorbanan seorang ibu...La yukallifullahu nafsan illa wus'aha...Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan mengikut kemampuannya...Kak muna...Semoga Allah kuatkan hati Kak Muna...Liza akan selalu doakan Kak Muna, yea? Kadang-kadang, Mungkin Allah berikan 'Adik' kepada Kak Muna kerana Kak Muna perlukan dia... Mungkin Adik adalah orang yang terbaik untuk mendidik 'hati' Kak Muna sekeluarga...termasuk hati Liza...Terima kasih atas catatan ini, kerana, saudara mara Liza ramai yang punya anak sindrom down...Alhamdulillah, itulah yang menguatkan jiwa mereka dan kami sebagai hamba Allah yang bersyukur...Moga Allah Meredhai dan merahmati Keluarga Kak Muna...amin...

Muna 'Izzah Fadzil said...

terima kasih liza,,
liza, down syndrom ok.. mereka boleh berjalan. so if kena cara didikan, insyaAllah mereka sennag diurusi.
anak akak, alhamdulillah dari segi mental dan rupa paras semua normal, cuma sel yang control pergerakan perlu diaktifkan kembali. insyaAllah, akak menunggu dan berusaha sedaya mungkin berubat adik. insyaAllah, Allah akan memberikan yang terbaik dan apa yang kita minta . :)

Unknown said...

Syukran Kak Muna, kerana sudi sharing di Carlton Holiday yang lepas....