Monday, November 17, 2008

Kurniaan Mata

Salam and Hi!


Saya harap teman2, adik, kakak serta abang semua sihat. Saya alhamdulillah sihat. Cuma hari minggu saya agak sibuk kerana saya dan sahabat-sahabat Dream Team Resources mengadakan kursus SPIES kepada adik-adik Kolej INPENS, Kuala Selangor dan insyaAllah selepas ini beberapa tempat di Selangor. Betapa kami merasakan tersentuh dengan pengalaman mereka mengharungi hidup ketika usia mereka masih muda. Insafnya kami para fasi dan terkeluarlah dari mulut sesama kami bahawa apa sangatlah masalah kita berbanding masalah mereka. Syukurlah dengan apa yang kita ada sekarang. Oleh kerana itu sentiasalah bersyukur dan merasakan ada orang lain lagi yang lebih menderita daripada kita. Allah Maha Besar.

Antara kurniaan Allah pada kita yang paling terindah adalah nikmat mata. Mata diciptakan sepasang iaitu dua biji. Mengapakah dicipta sepasang? Pasti ada hikmah yang Allah mahu kita fikir dan gunakan sebaiknya. Ianya tidak lain dan tidak bukan untuk memerhati kejadian Allah dengan sebaik-baiknya, memandang perkara-perkara yang baik dan sekiranya melihat perkara-perkara yang negatif, mata mesti menganalisis bersama hati dan akal apa yang baik dan buruk untuk dilakukan. Mata bukan sekadar untuk melihat, tetapi memerhati dengan menganalisis kejadian langit dan bumi ciptaan yang ada di antara keduanya.

Adakah kita menggunakan mata kita dengan sebaiknya? Adakah kita melihat lelaki yang handsome dengan dua kali pandang, atau empat kali? Saya kena tanya diri saya sendiri. :) mujur ada suami yang handsome juga di sebelah, hehe joking k.
Dan juga begitu kepada lelaki, mungkin yang tidak lepas pandangan itu melirik kepada wanita cantik lain selain daripada bidadari di sebelah, sehingglah bayang wanita itu hilang. Selepas pandangan mata itu, datang pula pandangan lain. Kita semua tahu kan,apakah pandangan itu?

Mata adalah senjata bagi wanita secara umum untuk memikat dan juga kepada lelaki. Panahan mata adalah panahan yang paling tajam. Kerana itulah cerita sufi Rabiatul Adawiyah amat memikat hati saya. Beliau adalah wanita yang terlalu mencintai Allah hatta beliau berkata jika tiada syurga mahupun neraka, ianya tidak penting baginya kerana cukuplah baginya Allah. Pada suatu hari seorang lelaki yang memuji beliau mempunyai mata yang cantik. Oleh kerana beliau tidak mahukan cinta lain selain manusia, beliau sanggup untuk mencungkil matanya untuk orang tersebut. Begitulah sedikit selingan yang mungkin secara tidak langsung menyatakan bahawa mata itu mampu menembusi jiwa.

Dari mata juga akan turun ke hati. Dari kerana mata juga akan menilai kejujuran seseorang itu dalam komunikasi. Andai seseorang itu bertentang mata dengan kita ketika bercakap, dia adalah dalam keadaan bersedia dan tidak menyembunyikan sesuatu. Ada ketikanya kita tidak mampu untuk bertentang mata dengan seseorang kerana ada sesuatu yang di dalam jiwa kita samada rasa malu atau tidak suka.

Mata juga mampu membawa kita ke syurga. Dengan mata yang penuh tawadhu tidak melihat perkara-perkara haram dan juga dari mata itu mengalirnya airmata keinsafan serta taubat kepada Ilahi, mampu menghapuskan dosa kita.

Saya amat menyedari nikmat mata ini. Sebelum ini saya memakai kaca mata walaupun saya tidak suka, kerana saya tidak selesa dan tidak berkeyakinan. Dan disebabkan saya ini agak tidak suka benda remeh, agak sukar untuk saya berterusan memakai kanta lekap. Ditakdirkan Allah, saya ditawarkan oleh Prof Muhaiya, untuk mendapatkan pembedahan LASIK iaitu pembedahan mata secara laser di Prince Court Medical Centre atas tujuan promosi dan percubaan mesin terkini.

Betapa berdebarnya saya ketika hendak melakukan pembedahan tersebut walaupun prosedur menipiskan lapisan kornea itu mengambil masa 40 saat. MasyaAllah, begitulah canggihnya akal yang diberikan oleh Allah kepada manusia untuk meminimakan masa yang ada. Prosedur keseluruhan adalah dalam 20 minit tanpa memerlukan bius cuma mengenakan ubat kebas pada mata sahaja.

Ketika Prof meminta saya membaca susunan abjad sesudah pembedahan dibuat, saya seperti hendak menangis dan sesungguhnya kesyukuran yang mampu saya lafazkan di hati dan di mulut kerana saya sudah mendapatkan kembali penglihatan saya seperti baru lahir. Ya Allah, jika Kau hendak memberi, sekelip mata akan Kau berikan. Terima kasih Kekasihku. Dan untuk Prof Muhaiya, Dr Tan, dan semua tenaga kerja Jabatan Oftamalogi Prince Court Medical Centre, thank you so much for your great job and teamwork!

Keajaiban merasai mata yang kembali cerah membuatkan saya berusaha untuk menjaga mata ini sebaik mungkin, mendidik saya untuk berjalan tunduk dan tidak mendongak ke atas seperti natural cara saya berjalan sebelum ini. Rupanya berjalan tunduk ada hikmahnya. Sebelum ini saya sering terjatuh apabila berjalan kerana saya berjalan dongak, tetapi rupanya ia boleh diubah dan diterap dengan latihan, dan saya sering mengingatkan diri, try to walk humbly. Bukannya sebelum ini saya berjalan mendongak kerana sombong, tetapi mungkin cara saya berjalan. Tapi setiap apa yang ada pada diri boleh diubah demi kebaikan. Namun, sebagai manusia yang perlukan keseimbangan, kita perlu mendongak untuk melihat awan di langit dan sesekali melihat ke bawah untuk melihat rumput di tanah. Menginsafi kemungkinan kurniaan penglihatan kali kedua ini boleh ditarik balik oleh Penciptanya, saya terus berdoa agar Allah mendorongkan hati saya untuk melihat perkara yang bermanfaat dan bukannya perkara yang dapat melalaikan diri, kerana itulah kelemahan diri saya.

Samada anda memiliki mata bundar, atau mata bulat, atau mata kucing, atau mata sepet, atau mata kecil, bersyukurlah kerana walau bentuk mana sekalipun, tetapi penglihatan tetap sama. Bersyukurlah kerana mampu melihat apa yang ada di sekeliling dan dapat mengedip mata menghindar habuk-habuk dari bermastautin di mata.

Kita sama2 nantikan kesinambungan cerita mata ini di posting yang seterusnya.

Sayang anda semua.

Dari saya, Muna aka Kak Muna.

No comments: