Monday, August 16, 2010

Anggunkan Hati Kita

Salamullahi alaikum dan Selamat Sejahtera. Semoga kehidupan harian kita sentiasa tenang dan bertambah baik terutamanya di bulan Ramadhan ini. Masih belum terlewat buat saya untuk mengucapkan Salam Ramadhan buat semua.

Pada 13 Ogos yang lepas, saya mencecah 36 tahun. Rupanya nombor ini tidak begitu menggerikan sepertimana yang pernah saya bayangkan ketika saya belasan tahun. Selalu memikirkan bagaimana kita pada umur sekian-sekian. Lucu pulak sudah melewati umur ini. Sebenarnya di atas kita bagaimana kita mahu menerima kenyataan hidup kita dan bagaimana kita bertindak walau berapapun umur kita.

Dalam kita selalu memperelokkan wajah kita yang sudah cantik dan personaliti kita, pernahkah kita terfikir bagaimana keadaan hati kita? Hati yang sebenarnya menjadi asas pencernaan personaliti kita. Seperti mafhum hadis Rasululullah saw, di dalam tubuh kita ada seketul daging, sekiranya baiklah daging itu, maka baiklah jasadnya. Dan sekiranya buruk daging itu, maka buruklah jasad itu. Itulah Qalbu ( hati). (Au kama qal)

Ya hati. Hati di dalam bahasa arab mempunyai dua perkataan iaitu Fuad dan Qalbu. Fuad menerangkan makna fizikal hati itu sendiri. Dan Qalbu pula bermaksud berubah-ubah. Begitulah sifat Qalbu, berubah-ubah. Kadang-kadang kita rasa sayang, kasih dan kadang-kadang kita rasa benci dan dendam. Semua ini berkaitan dengan iman. Sesungguhnya iman itu boleh bertambah dan berkurang. Sekiranya hati kita bersih, maka baiklah perilaku kita tanpa dipaksa-paksa dan sekiranya kotor hati kita, maka buruklah perangai kita. Dan ianya mampu berubah dalam sekelip mata. Paginya baik, petangnya buruk.

Kalau kita selalu mencuci wajah kita atau badan dengan pelbagai pencuci muka dan losyen mandian, bagaimana dengan hati kita? Bagaimana mahu mencuci? Bila perlu dicuci? Sebelum itu mari kita kenal 3 jenis hati. Sediakan 3 gelas, satunya berisi air kosong. Satunya air teh dan yang satu lagi dengan air kopi pekat.

Untuk air kosong, diumpamakan hati yang bersih. Masukkan gula yang diibaratkan sebagai dosa kecil. Adakah nampak gula itu jatuh? Ok, masukkan pula sudu ke dalamnya yang diibaratkan sebahgai dosa besar. Nampak jelas? Ya, kedua-duanya nampak jelas bukan? Begitulah diibaratkan hati kita yang bersih sekiranya pernah melakukan perbuatan salah, hati kita akan merasa gelisah dan terasa yang dia sudah melakukan dosa. Jelas terasa di hatinya yang dia merasa bersalah. Itulah gambaran hati yang bersih. Mudah sensitif dengan gerak geri laku perbuatannya.

Untuk jenih hati yang kedua, air teh itu diibaratkan sebagai hati yang sakit. Jika dimasukkan gula atau sudu, masih lagi nampak kelibat kedua objek itu namun ianya samar dan kelabu. Begitulah hati kita jika ianya sakit, tidak akan merasakan sensitif terhadap dosa dan kesalahan yang dilakukan. Kita masih sedar kita berbuat kesalahan tetapi menangguhkan taubat atau istighfar.

Dan untuk yang ketiga ialah hati yang mati, wal'iyazu billahi min zalik. Hati yang mati diumpamakan sebagai air kopi yang hitam pekat dan segala objek yang masuk, kita sudah tidak nampak. Apa yang kelihatan ialah hitam sahaja. Itulah hati mati yang sudah berasa halal haram adalah sama dan tiada beza baginya.

Namun,jauh di sudut hati kita, ada sedetik rasa yang kita mahukan kebaikan dalam hidup. Untuk proses pencucian hati ini, sama-samalah kita mulakan dengan istighfar dan mengakui segala kesalahan kita kepada Allah. Bertaubatlah, kerana sedetik kita mahu kembali ke pangkuan Allah, Allah akan sambut kita dengan kasih sayangNya, yakinlah dengan cinta Allah. Banyakkan berzikir, membaca mathurat, bangun malam, membaca Al-Quran dan berazam untuk berubah. Didik hati kita supaya sentiasa beristighfar dan merendah hati. Diakui hati kadang-kadang sukar dikawal kemahuannya, tetapi selalu berdoa pada Allah agar kita ditetapkan iman " Thabbit qulubana Ya Rabbi", Ameen Ya Rabbal Alamiin.

Semoga hati kita dapat dibersihkan dan dicuci selalu sehingga mendapat hati yanhg bersih dan jagalah ianya selalu. Sehingga berjumpa lagi. Anggunnya peribadi kita bermula dengan anggunnya hati kita. Wallahu a'lam.

Salam Ramadhan.

Monday, May 31, 2010

Fikir sambil berbicara

Salamullahi 'Alaikum dan Selamat Tengahari,

Saya doakan kawan-kawan semuanya dalam keadaan baik-baik belaka. Saya sendiri Alhamdulillah dalam keadaan ceria dan sihat.

Menyambung kembali menulis bagi berkongsi ilmu dengan teman sekalian.

Kali ini saya ingin berkongsi dengan ringkas perbualan saya dan suami saya semalam di dalam kereta menuju ke Kulim dari Kuala Lumpur. Bercerita mengenai program Self-Grooming yang akan saya anjurkan dalam bulan Jun ini.

Di antara pengisian training itu, ialah mengenai komunikasi ringkas dengan kawan-kawan dan rakan sekerja. Dan yang menarik untuk dikongsi di dalam blog kali ini ialah apabila kita ingin meminta tolong kepada orang lain dalam keadaan biasa samada kita seorang boss kepada anak buah kita atau perbualan dengan orang lain.

Selalunya apa ayat yang kita gunakan sekiranya kita mahu meminta pertolongan daripada orang lain? Atau kita ingin meminta dia buatkan sesuatu? Atau ingin mengetahui samada dia sudah melakukan apa yang kita minta?

Kebanyakan dari kita termasuk saya sendiri, tanpa kita sedar, kita selalu mengucapkan dialog tanpa kita fikir kesan, kerana ianya sudah menjadi habit atau perlakuan kita sehari-hari.

Contoh ayat suruhan: Saya nak suruh awak selesaikan minit mesyuarat semalam.

Cara baru: Saya nak minta tolong/perlukan pertolongan awak siapkan minit mesyuarat semalam untuk edaran segera.

Di dalam penyataan ini, kita masih menyatakan kita minta dia melakukan sesuatu dan dalam masa yang sama, kita memberitahunya kenapa ia perlu disiapkan. Kebanyakan kita menyuruh orang, tanpa memberitahu sebab kenapa ia mesti dilakukan. Ini menyebabkan, orang lain kadang-kadang dalam keadaan kabur dan tidak faham.

Jika kita sebagai boss, dalam keadaan biasa, tidak salah menggunakan kedua-dua frasa di atas, namun frasa yang kedua lebih menampakkan sikap anggun atau berhemahnya kita dalam meminta seseorang melakukan tugas. Dengan secara tidak langsung mendidik orang bawahan kita melakukan perkara yang sama. Akhirnya aura berhemah ini akan berkembang di sekeliling kita.

Dalam situasi kita menunggu email dari seseorang. Kita betul sekiranya kita menyatakan begini.
Contoh: Dah hantar ke email? / Kenapa tak hantar lagi?
Dalam keadaan begini kita meletakkan kesalahan kepada orang lain. Sekiranya benar mereka sudah menghantar email tetapi ada masalah teknikal, pasti mereka tersinggung dengan pertanyaan mengapa dan kenapa.

Oleh itu, kita cuba begini:
Saya masih belum terima email yang dijanjikan ,,,( ayat seterusnya)

Dalam keadaan kedua, kita merujuk kepada masalah kita iaitu dengan memahami dan membuat sangkaan bahawa mungkin dia telah menghantar dan berlakunya masalah teknikal dan bukannya menuduh orang lain walaupun benar dia masih tidak menghantar email itu kepada kita.

Dengan cara ini, sekiranya benar dia sudah menghantar email, dia akan memberi respon yang responsif dan bukannya defensif. Atau sekiranya dia masih belum menghantar email tersebut, dia akan segera melakukannya kerana dia dengan sendirinya menyedari bahawa kelambatan dia telah menyebabkan orang lain tertunggu-tunggu.

Ini merupakan cara teguran yang dapat membina personaliti seseorang dengan lebih baik di dalam komunikasi.
Kurangkan bertanya mengapa dan kenapa di dalam komunikasi kecuali kita mahu menghukum seseorang dalam keadaan yang seadilnya, ianya (pernyataan pertama) memang wajar digunakan.

Pesan suami saya: Sentiasa berfikir sekiranya mahu berbicara, dan selalu merujuk ayat itu kepada kita sebelum kita melafazkannya. Dengan berlatih, penguasaan komunikasi akan menjadikan kita lebih berhemah.

Sekian untuk kali ini, hingga kita jumpa lagi.
Senyum dan salam.

Thursday, May 13, 2010

Bila memuji..

Salamullahi alaikum dan Selamat pagi.

Alhamdulillah, saya menulis lagi walaupun lambat. Saya kini berulang alik sebulan dua kali daripada KL-Kulim. Ada bahagianya dan ada cabarannya. Tetapi itulah kehidupan. Pengalaman perlu dicari walaupun kadangkala kita rasa sukar menempuh. Namun carilah bahagia, ianya pasti datang jua.

Setelah lama saya tidak menulis mengenai komunikasi. Kali ini saya ingin menyentuh mengenai cara memberi pujian kepada orang. Ini kerana kadang-kadang, dengan pujian kita itu mampu menaikkan semangat orang dan kadang-kadang boleh merosakkan hidup mereka juga.

Di dalam Islam, Sesungguhnya pujian semata-mata kerana Allah, dan untuk Allah jua.

Islam melarang kita memberi pujian yang melampau kepada manusia kerana bimbang akan timbulnya perasaan riak dan takbur. Bahayanya memberi pujian ada dinyatakan di dalam hadis Rasulullah saw yang bermaksud:

Diriwayatkan, Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain, lantas Baginda SAW bersabda yang maksudnya:

“Malang kamu! Sesungguhnya kamu sudah memotong lehernya! Kemudian Baginda SAW menambah: “Sekiranya seseorang daripada kamu tidak dapat mengelak daripada memuji temannya maka hendaklah dia berkata, saya kira begini, jangan sekali-kali dia menyucikan seseorang mengatasi Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). *

Ini menunjukkan sekiranya kita mahu memberi pujian kepada seseorang, kita kena dahulukan dengan pujian kepada Allah. Kerana segala pujian itu, kita tujukan kepada Allah dan sesungguhnya segala kelebihan yang ada pada seseorang itu, diberi oleh Allah swt. Dengan itu, teman atau orang yang mendengar pujian itu akan sedar bahawa dia tidak memiliki apa-apa sekiranya tidak dikurniakan Allah dengan segala kebaikan atau kelebihan tersebut.

Pujian yang diberi itu kadang-kadang membuatkan orang yang mendengarnya mempunyai dua keadaan. Samada senang dengan jawapan itu atau terkadang tidak tahu apa nak dijawab/serba salah.

Contoh selalu yang kita dengar:
"Awak ni cantiklah" .
Jawapan yang selalu kita dengar:
" Eh ye ke? " dan sebagainya.

Bagi mereka yang memang menanti untuk dipuji akan merasa gembira dan kegembiraan itu akan ditakuti membawa kepada dosa. Ianya mampu untuk menjadikan orang tersebut berbangga diri dan merasakan dirinya saja yang terbaik. Mafhum hadis rasulullah saw. :

"Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah kagum kepada buah fikiran dan diri sendiri. Sesiapa yang mendakwa dia orang yang beriman, maka sebenarnya dia kafir. Dan sesiapa yang mendakwa dia orang yang berilmu, maka sebenarnya dia jahil. Dan sesiapa yang mendakwa dia ahli syurga, maka sebenarnya dia ahli neraka.” (Hadis riwayat Ibn Marduwaih)" *


Namun begitu, kita perlu membezakan antara memuji (ada udang sebalik batu) dengan memberikan pengiktirafan dan penghargaan. Memberikan pengiktirafan dan penghargaan digalakkan bertujuan memberi galakan, melebarkan silaturahim dan mengeratkan kasih sayang. *
Niat perlu dijaga sepanjang waktu.
Contoh pujian atau penghargaan kepada isteri/suami dan anak-anak, teman-teman atau sesiapa sahaja.
Dan seeloknya kita mengucapkan ucapan tahniah sekiranya sesuatu kebaikan yang dia terima sebagai penghargaan.

Oleh itu, mulai sekarang mari kita sama-sama melakukan perubahan. Kita memberi pujian secara ikhlas kepada anak-anak kita, pasangan, teman-teman atau sesiapa saja dengan pujian terhadap Allah dahulu dan seterusnya memberikan penghargaan kepada mereka.

Cara beri pujian."MasyaAllah, cara awak menyampaikan ucapan tadi sangat berkesan, tahniah"

Dan sekiranya kita yang menerima pujian, teruskan lah memuji Alllah, kembalikan pujian itu kepada Allah, kerana kita tiada punya apa-apa kerana semua yang kita miliki adalah pinjaman daripada Allah jua.

Cara menjawab: "Alhamdulillah. Milik Allah jua. Saya cuma menyampaikan yang terbaik."

Oleh itu, sama-samalah kita menjaga lisan kita agar peribadi kita sentiasa dalam keadaan baik dan mendapat berkat Allah, walaupun perkara itu jarang kita perasan dan tidak pernah terfikir dengan perkara-perkara kecil, mungkin akan menjadi bonus untuk timbangan kita di Padang Mahsyar nanti, Ameen.

Saya akhiri dengan terjemahan ayat:
“Segala puji hanya untuk Allah, Pencipta dan Penguasa seluruh alam.” (Surah al-Fatihah, ayat 2)

Hingga jumpa lagi!.
Salam sayang, Muna.
19 Mei 2010.

*mafhum hadis diambil daripada blog Pimpinan Jiwa*

Thursday, April 8, 2010

Bengkel Imej dan Ketrampilan-



Assalamualaikum warrahmatullahi wabakaratuh dan Salam Sejahtera,


Untuk berkongsi dengan kawan-kawan sekalian mengenai sesi Seanggun Bidadari berjumpa dengan penyelia-penyelia Pusat Komuniti Wanita Selangor pada 25 April 2010. di Hotel Prescott, Kelang. Saya dijemput selama 2 jam oleh YM Tengku Husni untuk memberi kursus mengenai Imej dan Keterampilan. Dan pada keesokan harinya saya ditugaskan menjadi juri professional untuk persembahan kumpulan untuk markah keterampilan. Memang sangat bagus respon dan maklum balas yang diberikan oleh puan-puan penyelia tersebut.

Antara yang dikongsikan bersama mereka ialah modul:
a- Imej.
b-Keterampilan merangkumi Salam, Senyum, Cara berdiri, duduk, berjalan dan komunikasi.

Untuk Imej, saya menghuraikan mengenai keperluan imej dalam pekerjaan dan komunikasi. Selaku penyelia imej bagaimana yang mesti ditonjolkan agar masyarakat setempat selesa dalam aktiviti mereka seharian di pusat komuniti.

Bagi sesi keterampilan pula, sama-sama kami berkongsi mengenai pembawaan diri di dalam majlis dan aktiviti seharian. Kebanyakannya apa yang saya kongsi dengan teman sekalian apa yang ditulis di dalam blog ini.

Bersama ini saya sertakan gambar setelah selesai kursus. Saya sedang menanti gambar ketika kursus dijalankan daripada pihak penganjur.
Kepada Diana dan YM Tengku Husni, terima kasih kerana sudi bersama Seanggun Bidadari. InsyaAllah kita berjumpa lagi di lain sesi.

Sekian, ;).
Salam.

Tuesday, March 9, 2010

Ambil Dengan Tangan Kanan atau Kiri?

Selamat malam semua. Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.

Apa khabar hari ini? InsyaAllah diharap semua sahabat berjaya hari ini dan mendapat keseronokan di dalam pekerjaan atau apa jua yang dilakukan.

Untuk tips kali ini, anda mungkin mempunyai pendapat anda sendiri. Namun begitu, mari kita kongsi dahulu ya. :) Kali ini saya mahu berbincang dan berkongsi tips di dalam adab makan. Umum kita tahu, adab makan bagi orang Islam, kita makan dengan tangan kanan. Sekiranya kita makan dengan sudu atau garfu, pastinya suapan kita bermula dengan tangan kanan. Untuk perkongsian kali ini, apa yang saya hendak kongsikan ialah mengambil makanan dengan sudu setelah kita sudah makan dengan tangan. Maknanya, apabila kita makan dengan tangan, kemudian kita mahu mengambil lauk-pauk.

Tangan manakah yang selalunya digunakan untuk mengambil makanan? Ini yang dikatakan adab/etika ketika makan.

Sebelum itu saya mahu kita bayangkan situasinya begini:
Kita bersama keluarga atau kawan-kawan menghadiri majlis perkahwinan dan kita duduk semeja dengan orang lain yang bukan kenalan kita. Setelah makanan diambil dan semua duduk dan mula makan dengan TANGAN. Nasi tambah dan lauk-pauk di depan mata kita. Wah, tengah-tengah makan, sedap pula lauk ni. Nak tambah lah'. Tiba-tiba orang lain yang ada di depan kita mengambil dulu lauk yang kita suka. Dan dia mengambil dengan tangan kanan yang tangannya ada sisa makanan dan sedikit kuah. Maka sudu lauk itu menjadi sedikit comot, kotor dan berminyak.
Soalan: apakah perasaan anda?
Pilihan jawapan: a)Suka, tak kisah dan ambil juga lauk dengan tangan kanan.
b)Hilang selera makan sebab geli nak pegang sudu.

Mungkin jawapan anda berdasarkan apa yang anda lakukan sekarang. Dan untuk tips kali ini, jawapan yang saya mahu daripada kita semua ialah b. Inilah sebab tips ini saya ingin kongsi.

Ramai yang saya perhatikan memang mengambil makanan dengan tangan kanan ketika tangan masih ada makanan. Alasannya adalah tangan kanan.
Ya, tangan kanan memulakan makan dan mengambil lauk pada permulaan. Tetapi kita sebagai manusia harus dan mesti memikirkan perasaan dan adab bersama orang lain. Ini yang dinamakan Akhlaq.

Sedari kecil, baba dan mama saya sering menekankan mengenai adab makan. Antara yang saya ingat kata-kata almarhum baba saya " kalau nak ambil makanan, ketika makan, kena ambil tangan kiri. Nanti orang geli nak ambil sudu tu" Sekiranya kami terlupa, baba akan tepuk tangan kami untuk mengingatkan. Terima kasih mama, baba kerana mengajar etika-etika ini kerana semua itu kami praktiskan dalam kehidupan seharian dan kehidupan bekerja dan bersosial dengan masyarakat.

Ya, inilah perkongsian yang saya mahu paparkan di sini sejak dahulu lagi. Memang menggunakan tangan kanan harus dalam semua perkara namun tangan kiri juga ada fungsinya sendiri. Maka sekiranya tangan kanan kita kotor dan mungkin menganggu perasaan orang lain terutamanya ketika makan, maka gunakan lah tangan kiri yang bersih. Hanya untuk mencedok lauk sahaja. Menjaga perasaan orang lain itu ialah akhlaq. Maka marilah sama-sama mantapkan keanggunan anda yang sedia ada.

Sehingga berjumpa lagi di lain tips. Good Nite everyone!
Salam sayang dan baca doa tidur ya nanti. Senyumlah selalu dan maafkan semua orang sebelum tidur.

:)


Saturday, March 6, 2010

May I introduce my new edition?

Salam semua. Senyum di pagi hari boleh membuatkan kita segar sepanjang hari.

Ok, saya baru nak perkenalkan 'member' baru Seanggun Bidadari. Namanya Ahmad Amir Ziyad bin Ahmad Sabki. Baru berumur 4 bulan. Selamat berkenalan.

Tarikh Lahir: 27 October 2009
Tempat Lahir: Pusat Perubatan Al-Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Nama diberi: kombinasi pilihan mama saya (Ziyad) dan suami serta anak sulung (Ahmad Amir).
Adik-beradik: Ahmad Al-'Izz (10 tahun) dan Nur Imtinan Aishah (9 tahun)






Thursday, January 14, 2010

Memulakan perbualan

Salam semua.

Didoakan semuanya berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Sudah lama untuk membicangkan perkara ini, tetapi baru hari ini termakbul. Bagaimana cara untuk membuatkan orang senang dengan kehadiran kita?

Adakalanya kita berjumpa dengan kawan2 lama atau baru atau sesiapa sahaja, kita berfikir adakah kita disenangi atau tidak.

Contoh: Kita di dalam keadaan gembira dan dengan fikiran tenang, akan merasakan perjumpaan begitu menyeronokkan kerana kita pada awalnya telah menyediakan diri dengan kekuatan emosi kita. Kebanyakannya bermula dengan emosi kita.

Saya pernah berkongsi di dalam Facebook satu tips mengenai bagaimana kita memulakan perbualan dengan orang yang kita baru kenal ataupun sesiapa sahaja.

Tips bidadari hari ini: Ketika mula mengenali seseorang, eloklah bertanyakan soalan atau berbual perkara yang minima sahaja, sehinggalah merasakan keselesaan. Elakkan dari bercakap perkara-perkara yang terlalu personal jika dilihat sahabat baru itu belum selesa untuk berbicara mengenainya.

Bagi permulaan perkenalan, kita digalakkan untuk berbual dengan teman itu seminima mungkin dan tidak menyentuh perkara peribadi dengannya. Kecuali dia sendiri yang bercerita.

Ada soalan dari sahabat saya : "Ini boleh apply kepada seorang staf senior kepada staf junior yg baru masuk ke? Kalau staf baru tu lain jantina, soalan/perbualan apa pula yg sesuai? Saya dah terlalu lama kerja dengan mesin, sampai human interaction pun dah hilang skill."

Jawapannya ya sama. Cukup dulu sekadar mengenalkan diri dan menjadikan dirinya diterima di tempat kerja yang baru. Ini akan membuatkan rasa hormat junior terhadap senior. Perlu ada sifat ramah namun berhad. Ianya juga akan membuatkan kemesraan itu berterusan.

Merujuk pula kepada soalan sahabat seterusnya. ".. katakan kita tak selesa bila brbual dgn org, mgkin topik yg diketengahkan tak kena kan, atau kita punya kerja lain, mcm mana ye kita nak hentikan conversation tu? takut salah cara, kecil hati pula.. rosak pula ukhuwwah nnt.."

Ini memerlukan pada cara kita mengawal suasana. Pertamanya eloklah kita menyahut sekejap apa yang diketengahkan olehnya. Dan selepas itu, dengan niat yang ikhlas kita cuba mengubah topik lain atau meminta diri sebentar. Jangan sekali-kali memaksa diri untuk mendengar dengan lebih lanjut dengan cara endah tidak endah. Lebih baik kita berkata dengan jujur: " Em, saya nak bertanya sesuatu (topik lain)"atau setelah melayannya beberapa minit, mohon diri untuk ke mana-mana sekejap. Tetapi dengan hati yang tulus. Kenapa saya kata hati yang tulus. Kerana kita tidak mahu dia merasakan tidak enak sekiranya hati kita memberontak dan itu boleh tercerna melalui rupa kita.

Begitulah pendekatan terhadap komunikasi terhadap orang baru atau sesiapa sahaja. Hati kita boleh merasa sekiranya aura dingin berlaku di sekeliling kita. Kita cuba jadikan diri kita penamat atau penyelamat kepada keadaan itu dengan cara menceriakan keadaan atau mengundurkan diri. Sekiranya kita telah berkata sesuatu yang kurang enak atau kurang selesa, gunakanlah perkataan magik ini : 'Minta maaf ' atau 'Sorry'.

Itulah antara tips terbaru yang boleh dikongsi bersama teman-teman. InsyaAllah kita akan bertemu di lain tips.

Salam kasih,
Muna.