Monday, May 31, 2010

Fikir sambil berbicara

Salamullahi 'Alaikum dan Selamat Tengahari,

Saya doakan kawan-kawan semuanya dalam keadaan baik-baik belaka. Saya sendiri Alhamdulillah dalam keadaan ceria dan sihat.

Menyambung kembali menulis bagi berkongsi ilmu dengan teman sekalian.

Kali ini saya ingin berkongsi dengan ringkas perbualan saya dan suami saya semalam di dalam kereta menuju ke Kulim dari Kuala Lumpur. Bercerita mengenai program Self-Grooming yang akan saya anjurkan dalam bulan Jun ini.

Di antara pengisian training itu, ialah mengenai komunikasi ringkas dengan kawan-kawan dan rakan sekerja. Dan yang menarik untuk dikongsi di dalam blog kali ini ialah apabila kita ingin meminta tolong kepada orang lain dalam keadaan biasa samada kita seorang boss kepada anak buah kita atau perbualan dengan orang lain.

Selalunya apa ayat yang kita gunakan sekiranya kita mahu meminta pertolongan daripada orang lain? Atau kita ingin meminta dia buatkan sesuatu? Atau ingin mengetahui samada dia sudah melakukan apa yang kita minta?

Kebanyakan dari kita termasuk saya sendiri, tanpa kita sedar, kita selalu mengucapkan dialog tanpa kita fikir kesan, kerana ianya sudah menjadi habit atau perlakuan kita sehari-hari.

Contoh ayat suruhan: Saya nak suruh awak selesaikan minit mesyuarat semalam.

Cara baru: Saya nak minta tolong/perlukan pertolongan awak siapkan minit mesyuarat semalam untuk edaran segera.

Di dalam penyataan ini, kita masih menyatakan kita minta dia melakukan sesuatu dan dalam masa yang sama, kita memberitahunya kenapa ia perlu disiapkan. Kebanyakan kita menyuruh orang, tanpa memberitahu sebab kenapa ia mesti dilakukan. Ini menyebabkan, orang lain kadang-kadang dalam keadaan kabur dan tidak faham.

Jika kita sebagai boss, dalam keadaan biasa, tidak salah menggunakan kedua-dua frasa di atas, namun frasa yang kedua lebih menampakkan sikap anggun atau berhemahnya kita dalam meminta seseorang melakukan tugas. Dengan secara tidak langsung mendidik orang bawahan kita melakukan perkara yang sama. Akhirnya aura berhemah ini akan berkembang di sekeliling kita.

Dalam situasi kita menunggu email dari seseorang. Kita betul sekiranya kita menyatakan begini.
Contoh: Dah hantar ke email? / Kenapa tak hantar lagi?
Dalam keadaan begini kita meletakkan kesalahan kepada orang lain. Sekiranya benar mereka sudah menghantar email tetapi ada masalah teknikal, pasti mereka tersinggung dengan pertanyaan mengapa dan kenapa.

Oleh itu, kita cuba begini:
Saya masih belum terima email yang dijanjikan ,,,( ayat seterusnya)

Dalam keadaan kedua, kita merujuk kepada masalah kita iaitu dengan memahami dan membuat sangkaan bahawa mungkin dia telah menghantar dan berlakunya masalah teknikal dan bukannya menuduh orang lain walaupun benar dia masih tidak menghantar email itu kepada kita.

Dengan cara ini, sekiranya benar dia sudah menghantar email, dia akan memberi respon yang responsif dan bukannya defensif. Atau sekiranya dia masih belum menghantar email tersebut, dia akan segera melakukannya kerana dia dengan sendirinya menyedari bahawa kelambatan dia telah menyebabkan orang lain tertunggu-tunggu.

Ini merupakan cara teguran yang dapat membina personaliti seseorang dengan lebih baik di dalam komunikasi.
Kurangkan bertanya mengapa dan kenapa di dalam komunikasi kecuali kita mahu menghukum seseorang dalam keadaan yang seadilnya, ianya (pernyataan pertama) memang wajar digunakan.

Pesan suami saya: Sentiasa berfikir sekiranya mahu berbicara, dan selalu merujuk ayat itu kepada kita sebelum kita melafazkannya. Dengan berlatih, penguasaan komunikasi akan menjadikan kita lebih berhemah.

Sekian untuk kali ini, hingga kita jumpa lagi.
Senyum dan salam.

Thursday, May 13, 2010

Bila memuji..

Salamullahi alaikum dan Selamat pagi.

Alhamdulillah, saya menulis lagi walaupun lambat. Saya kini berulang alik sebulan dua kali daripada KL-Kulim. Ada bahagianya dan ada cabarannya. Tetapi itulah kehidupan. Pengalaman perlu dicari walaupun kadangkala kita rasa sukar menempuh. Namun carilah bahagia, ianya pasti datang jua.

Setelah lama saya tidak menulis mengenai komunikasi. Kali ini saya ingin menyentuh mengenai cara memberi pujian kepada orang. Ini kerana kadang-kadang, dengan pujian kita itu mampu menaikkan semangat orang dan kadang-kadang boleh merosakkan hidup mereka juga.

Di dalam Islam, Sesungguhnya pujian semata-mata kerana Allah, dan untuk Allah jua.

Islam melarang kita memberi pujian yang melampau kepada manusia kerana bimbang akan timbulnya perasaan riak dan takbur. Bahayanya memberi pujian ada dinyatakan di dalam hadis Rasulullah saw yang bermaksud:

Diriwayatkan, Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain, lantas Baginda SAW bersabda yang maksudnya:

“Malang kamu! Sesungguhnya kamu sudah memotong lehernya! Kemudian Baginda SAW menambah: “Sekiranya seseorang daripada kamu tidak dapat mengelak daripada memuji temannya maka hendaklah dia berkata, saya kira begini, jangan sekali-kali dia menyucikan seseorang mengatasi Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). *

Ini menunjukkan sekiranya kita mahu memberi pujian kepada seseorang, kita kena dahulukan dengan pujian kepada Allah. Kerana segala pujian itu, kita tujukan kepada Allah dan sesungguhnya segala kelebihan yang ada pada seseorang itu, diberi oleh Allah swt. Dengan itu, teman atau orang yang mendengar pujian itu akan sedar bahawa dia tidak memiliki apa-apa sekiranya tidak dikurniakan Allah dengan segala kebaikan atau kelebihan tersebut.

Pujian yang diberi itu kadang-kadang membuatkan orang yang mendengarnya mempunyai dua keadaan. Samada senang dengan jawapan itu atau terkadang tidak tahu apa nak dijawab/serba salah.

Contoh selalu yang kita dengar:
"Awak ni cantiklah" .
Jawapan yang selalu kita dengar:
" Eh ye ke? " dan sebagainya.

Bagi mereka yang memang menanti untuk dipuji akan merasa gembira dan kegembiraan itu akan ditakuti membawa kepada dosa. Ianya mampu untuk menjadikan orang tersebut berbangga diri dan merasakan dirinya saja yang terbaik. Mafhum hadis rasulullah saw. :

"Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah kagum kepada buah fikiran dan diri sendiri. Sesiapa yang mendakwa dia orang yang beriman, maka sebenarnya dia kafir. Dan sesiapa yang mendakwa dia orang yang berilmu, maka sebenarnya dia jahil. Dan sesiapa yang mendakwa dia ahli syurga, maka sebenarnya dia ahli neraka.” (Hadis riwayat Ibn Marduwaih)" *


Namun begitu, kita perlu membezakan antara memuji (ada udang sebalik batu) dengan memberikan pengiktirafan dan penghargaan. Memberikan pengiktirafan dan penghargaan digalakkan bertujuan memberi galakan, melebarkan silaturahim dan mengeratkan kasih sayang. *
Niat perlu dijaga sepanjang waktu.
Contoh pujian atau penghargaan kepada isteri/suami dan anak-anak, teman-teman atau sesiapa sahaja.
Dan seeloknya kita mengucapkan ucapan tahniah sekiranya sesuatu kebaikan yang dia terima sebagai penghargaan.

Oleh itu, mulai sekarang mari kita sama-sama melakukan perubahan. Kita memberi pujian secara ikhlas kepada anak-anak kita, pasangan, teman-teman atau sesiapa saja dengan pujian terhadap Allah dahulu dan seterusnya memberikan penghargaan kepada mereka.

Cara beri pujian."MasyaAllah, cara awak menyampaikan ucapan tadi sangat berkesan, tahniah"

Dan sekiranya kita yang menerima pujian, teruskan lah memuji Alllah, kembalikan pujian itu kepada Allah, kerana kita tiada punya apa-apa kerana semua yang kita miliki adalah pinjaman daripada Allah jua.

Cara menjawab: "Alhamdulillah. Milik Allah jua. Saya cuma menyampaikan yang terbaik."

Oleh itu, sama-samalah kita menjaga lisan kita agar peribadi kita sentiasa dalam keadaan baik dan mendapat berkat Allah, walaupun perkara itu jarang kita perasan dan tidak pernah terfikir dengan perkara-perkara kecil, mungkin akan menjadi bonus untuk timbangan kita di Padang Mahsyar nanti, Ameen.

Saya akhiri dengan terjemahan ayat:
“Segala puji hanya untuk Allah, Pencipta dan Penguasa seluruh alam.” (Surah al-Fatihah, ayat 2)

Hingga jumpa lagi!.
Salam sayang, Muna.
19 Mei 2010.

*mafhum hadis diambil daripada blog Pimpinan Jiwa*