Tuesday, March 9, 2010

Ambil Dengan Tangan Kanan atau Kiri?

Selamat malam semua. Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.

Apa khabar hari ini? InsyaAllah diharap semua sahabat berjaya hari ini dan mendapat keseronokan di dalam pekerjaan atau apa jua yang dilakukan.

Untuk tips kali ini, anda mungkin mempunyai pendapat anda sendiri. Namun begitu, mari kita kongsi dahulu ya. :) Kali ini saya mahu berbincang dan berkongsi tips di dalam adab makan. Umum kita tahu, adab makan bagi orang Islam, kita makan dengan tangan kanan. Sekiranya kita makan dengan sudu atau garfu, pastinya suapan kita bermula dengan tangan kanan. Untuk perkongsian kali ini, apa yang saya hendak kongsikan ialah mengambil makanan dengan sudu setelah kita sudah makan dengan tangan. Maknanya, apabila kita makan dengan tangan, kemudian kita mahu mengambil lauk-pauk.

Tangan manakah yang selalunya digunakan untuk mengambil makanan? Ini yang dikatakan adab/etika ketika makan.

Sebelum itu saya mahu kita bayangkan situasinya begini:
Kita bersama keluarga atau kawan-kawan menghadiri majlis perkahwinan dan kita duduk semeja dengan orang lain yang bukan kenalan kita. Setelah makanan diambil dan semua duduk dan mula makan dengan TANGAN. Nasi tambah dan lauk-pauk di depan mata kita. Wah, tengah-tengah makan, sedap pula lauk ni. Nak tambah lah'. Tiba-tiba orang lain yang ada di depan kita mengambil dulu lauk yang kita suka. Dan dia mengambil dengan tangan kanan yang tangannya ada sisa makanan dan sedikit kuah. Maka sudu lauk itu menjadi sedikit comot, kotor dan berminyak.
Soalan: apakah perasaan anda?
Pilihan jawapan: a)Suka, tak kisah dan ambil juga lauk dengan tangan kanan.
b)Hilang selera makan sebab geli nak pegang sudu.

Mungkin jawapan anda berdasarkan apa yang anda lakukan sekarang. Dan untuk tips kali ini, jawapan yang saya mahu daripada kita semua ialah b. Inilah sebab tips ini saya ingin kongsi.

Ramai yang saya perhatikan memang mengambil makanan dengan tangan kanan ketika tangan masih ada makanan. Alasannya adalah tangan kanan.
Ya, tangan kanan memulakan makan dan mengambil lauk pada permulaan. Tetapi kita sebagai manusia harus dan mesti memikirkan perasaan dan adab bersama orang lain. Ini yang dinamakan Akhlaq.

Sedari kecil, baba dan mama saya sering menekankan mengenai adab makan. Antara yang saya ingat kata-kata almarhum baba saya " kalau nak ambil makanan, ketika makan, kena ambil tangan kiri. Nanti orang geli nak ambil sudu tu" Sekiranya kami terlupa, baba akan tepuk tangan kami untuk mengingatkan. Terima kasih mama, baba kerana mengajar etika-etika ini kerana semua itu kami praktiskan dalam kehidupan seharian dan kehidupan bekerja dan bersosial dengan masyarakat.

Ya, inilah perkongsian yang saya mahu paparkan di sini sejak dahulu lagi. Memang menggunakan tangan kanan harus dalam semua perkara namun tangan kiri juga ada fungsinya sendiri. Maka sekiranya tangan kanan kita kotor dan mungkin menganggu perasaan orang lain terutamanya ketika makan, maka gunakan lah tangan kiri yang bersih. Hanya untuk mencedok lauk sahaja. Menjaga perasaan orang lain itu ialah akhlaq. Maka marilah sama-sama mantapkan keanggunan anda yang sedia ada.

Sehingga berjumpa lagi di lain tips. Good Nite everyone!
Salam sayang dan baca doa tidur ya nanti. Senyumlah selalu dan maafkan semua orang sebelum tidur.

:)


Saturday, March 6, 2010

May I introduce my new edition?

Salam semua. Senyum di pagi hari boleh membuatkan kita segar sepanjang hari.

Ok, saya baru nak perkenalkan 'member' baru Seanggun Bidadari. Namanya Ahmad Amir Ziyad bin Ahmad Sabki. Baru berumur 4 bulan. Selamat berkenalan.

Tarikh Lahir: 27 October 2009
Tempat Lahir: Pusat Perubatan Al-Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Nama diberi: kombinasi pilihan mama saya (Ziyad) dan suami serta anak sulung (Ahmad Amir).
Adik-beradik: Ahmad Al-'Izz (10 tahun) dan Nur Imtinan Aishah (9 tahun)