Showing posts with label 2nd tip of good attitude. Show all posts
Showing posts with label 2nd tip of good attitude. Show all posts

Wednesday, September 24, 2008

Senyuman (cont'd)-Maniskah senyuman kita?

Salam semua,

Saya sambung lagi k topik ni.

Teringat masa saya ketika berurusan dengan kerani di mahkamah. ketika itu ada kes nak mention. Jadi nak kena cek masa dan waktu. "Assalamualaikum Cik, boleh tolong cek kes ,bla bla.. ".
Cik puan tu dengan muka masam, tarik buku daftar, dengan muka kelat , beritahu saya tarikh. Em terkedu saya, hilang mood pagi-pagi kena pergi mahkamah. Ingat seronok ke nak kena pergi mahkamah pagi2, merungut saya dalam hati.

Ok bezakan situasi ini pulak. Atas urusan kerja untuk mendapatkan pengesahan bagi dokumen antarabangsa, saya bergegas ke Putrajaya. Penat nih. Dan sampai saya di sana, ambil nombor dan tunggu giliran. Saya masih trauma berurusan dengan penjawat jabatan kerajaan, selalunya kes-kes seperti kes pertama tadi.
"0054: , o ok nombor saya. Terus ke kaunter dan si gadis berkata" Boleh saya bantu? " wajahnya tersenyum manis menyambut saya. Saya pun dengan kelam kabutnya menyerahkan dokumen kepadanya dan urusan selesai. Ketika itu saya nak ajak dia minum sebabnya, ketika kerani itu tersenyum, hilang penat dan rasa letih menunggu. Rasa nak bayar budi baik dia menghulurkan senyuman.

Bagi kes pertama tadi, memang rasa nak menjerit, tapi control lagi sebab takut file kat mahkamah hilang. (hehe istilah peguam kat mahkamah).

Jadi, banyak yang nak diceritakan dalam kes senyum ni. Pergi kedai makan, pelayan ambil pesanan dengan muka masam, rasa nak je siram air atas meja( hehehe, perangai jahat tu, tapi tak buat ler). Tapi kalau pelayan datang dengan muka manis, makanan yang tak sedap pun, telan je dengan redza.

Pernah hadapi situasi begini? Pernah kan? Apa yang perlu kita lakukan sekiranya kita harus memberi servis kepada orang lain? Praktiskan sapa mereka dengan salam atau Hi , dan sedekah senyum anda. Orang datang pada kita untuk meminta khidmat, bukannya saja-saja nak pergi ke tempat kerja kita atau sebagainya. (saya bercakap dalam konteks pekerjaan atau perkara yang halal ya).
Boleh ubah sikap kita dari sekarang?

Dan sekiranya kita dalam situasi yang menyakitkan hati itu, apa yang kita perlu lakukan? Senyum dulu. Contoh: Malam tadi , saya ke pasaraya, nak beli tirai baru untuk mama (kongsi adik beradik). Masa pergi tu, lepas buka puasa, mengantuk dan letih. Cari pekerja nak tanya saiz dan sebagainya, datang pada kita dengan muka senyum kambing. (mungkin dia letih). Memahami dia penat, saya senyum padanya dan bercakap sejujur yang mungkin. Tidak hipokrit lembut tapi menjadi diri saya. Akhirnya dia mampu untuk senyum.

Mesejnya: Sekiranya orang lain belum mampu lakukan, kita yang lakukan dulu. Tak ape , tidak rugi pun memulakan perkara yang baik.

Pentingkan senyum itu?
Jom kita tengok kategori senyuman.(ikut turutan gambar ya)
1- Senyum kambing

2 -Senyum kelat

3- Senyum perli

4- Senyum simpul

5&6- Senyum manis, ceria, tenang dan iklas.







































Ada lagi jenis senyuman yang biasa kita lakukan? Jom kongsi.

Akhirnya, sebagai tip, senyumlah dengan ikhlas (no.5 atau 6) ketika anda di keramaian, tempat kerja, bersama keluarga, dan sebagainya. no. 4 itu ketika anda malu, mungkin ketika disunting atau diusik. Betul?
Dan ketika berjumpa Sang Pencipta dalam sujud dan ruku', senyumlah dengan rasa tawadhu', menunjukkan rasa syukurmu kepadaNya.

Maaf, salah dan silap.

TIP hari ini: Bangun pagi, ucap terima kasih pada Allah, dan SENYUM. (lakukan ya.)Elakkan lah senyum no. 1-3. Tidak anggun senyum begitu ya. :D

Jumpa lagi!

Salam.

Monday, September 22, 2008

Maniskah senyuman kita?

Assalamualaykum wrt wbt.

Bertemu kembali kita setelah lama menyepi. Harapnya kawan-kawan semua sihat dan gembira serta menemui ketenangan sepanjang Ramadhan ini. Banyak perkara yang nak dikongsi bersama. Sementelah lagi kita akan menyambut Aidil Fitri ini.

Ramai daripada kita sudah menyiapkan kelengkapan untuk menyambut Syawal, hari kemenangan umat Islam setelah berperang dengan nafsu sendiri. Kelengkapan pakaian, kuih muih dan sebagainya. Tapi bagi saya masih belum ada apa persediaan kerana banyak perkara yang harus diselesaikan dahulu.

Saya baru menjalani pembedahan Lasik iaitu koreksi mata menggunakan laser di Prince Court Medical Centre. Syukur alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, dan kini satu keajaiban diri yang sudah lama saya hilang telah saya perolehi iaitu pandangan kembali terang. Tetapi pengalaman itu saya akan kongsikan dalam posting yang lain. Apa yang saya nak kongsikan sekarang adalah mengenai satu UBAT bagi mengubati hati kita yang tengah resah dan gelisah serta memerlukan kekuatan.

Sebelum saya menjalani Lasik, satu pemeriksaan rapi perlu dilakukan oleh pakar mata. Dan untuk saya ke Prince Court, perasaan agak gementar sebab pertama kali melangkah ke pusat perubatan yang tarafnya seperti hotel. Terbayang bagaimana pegawai kesihatan di tempat mewah begitu. Pakar mata atau Oftamologistnya amat saya kenali iaitu Professor Dr Muhaiya Mohamad, memang seorang yang baik hati dan peramah, Tak lekang dengan senyuman dan keyakinan. Tetapi yang lainnya saya belum tahu.

Sampai saya di sana bersama suami, hilang segala gelabah dan rasa tidak selesa. Nak tahu, kenapa? Kerana senyuman.

Senyuman manis daripada Doktor Tan, Doktor Jessica, dan jururawat yang membuatkan saya rasa saya tidak berada di hospital. Betul lah kata orang tua, sakit macammana pun sekiranya ada layanan baik, hilang semua rasa sakit. Itulah sikap yang harus ada pada semua orang. Tak perlu harta kekayaan untuk memikat seseorang, tetapi mulakan dulu dengan senyuman manis kita.

Ada pernah di antara kita menerima sebuah senyuman kambing daripada sesiapa? Senyum kambing ini adalah senyum yang tidak sama sentimeter di kiri kanannya. hmm atau lebih dikenali senyum senget. Bagaimana rasa bila kita ke rumah saudara atau kenalan di Aidil fitri, dan tuan rumah menyambut kita dengan senyuman begitu atau senyumannya begitu hambar? Pasti rasa hendak pulang ketika itu juga.

Senyuman itu satu sedeqah. Rasullulah sentiasa menyarankan kita untuk menghadiahkan sedekah kepada orang di sekeliling kita.

1. Daripada Umar bin Al-Khatab R.A dia berkata.. “RasulluLLAH SAW tersenyum dan baginda adalah orang yang paling bagus giginya”(diriwayatkan Ibnu Hibban di dalam sahihnya)

2. Daripada Jabir bin Samurah RA..dia berkata .. “RasulluLLAH SAW tidak pernah tertawa selain daripada senyuman”(Diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Hakim).

3. Daripada Abdullah bin Juz’,dia berkata .. “RasulluLLAH SAW tidak tertawa selain daripada senyuman.” (Riawayat At-Tirmidzi,dan menurutnya hadis ini hasan Ghorib)

Senyumlah kita seperti Rasulullah.

Untuk menjadi seanggun bidadari, mudah sahaja, lemparkan senyuman 2 sentimeter kiri dan kanan, dan lahirkan dari jiwa. Nah, anda sudah mendapat teman baru dengan senyuman yang ikhlas dan tulus.

Senyuman bukan untuk menggoda tetapi senyuman untuk ketenangan, senyuman untuk kebahagiaan dan senyuman untuk sedekah bagi sesiapa yang memerlukan.

Kiranya kelengkapan material sudah dibuat untuk menyambut Syawal ini, segerakanlah perubahan diri kita andai sebelum ini kita jarang melemparkan senyuman pada jiran tetangga, pada ibu dan ayah, pada anak-anak dan adik beradik dan pada sesiapa yang berurusan dengan kita. Senangkan hati mereka dengan senyuman yang ceria , tulus dan menyakinkan.

Masih teringat saya ketika kecil sampailah kini, kiranya saya ada masalah, pasti mama dan arwah baba memberi satu senyuman yang penuh kasih sayang yang tidak ada gantinya. Hilang segala kesedihan. Dan senyuman itu saya warisi bagi menceriakan sesiapa yang berada di sisi saya. Walau ketika hati tengah sedih, gundah gelana, namun semua itu disembunyikan dengan sekuntum senyuman.

Jadi, senyum-senyumlah selalu. Jadikan orang lain di sekeliling kita rasa dihargai dan dihormati.
Hulurkan salam dan sedekahkan senyuman, hingga kita jumpa lagi.

Sekadar tips, jangan lupa gosok gigi pagi2 untuk pastikan senyuman anda betul ceria. :)